Monday, July 14, 2014

Fikir-fikirkan..........

Cubalah cucu-cucu dan saudara-saudara di luar sana fikirkan apa yang tertera di gambar dibawa ini.


Cuba renungkan juga lelehan airmata haiwan yang disayangi oleh Nabi Muhammad SAW ini. Doa haiwan ini dan berkat bagi kita yang membantu dan menyayangi haiwan ini pasti mendapat balasan yang baik dari Allah.

Hindarilah menzalimi semua haiwan termasuk babi dan anjing, kerana semuanya makhluk Allah jua. Nyawa yang dipinjamkan semuanya milik Allah jua. Fikir-fikirkan la.......

Tok Engku Hitam

Sunday, July 13, 2014

Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Assalammmualaikum semua,

Di kesempatan ini Tok ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam dan sahabat-sahabat yang berjinak-jinak dengan Islam.

Diseluruh dunia umat Islam sedang ditindas dan dizalimi. Tidak kira oleh puak yahudi atau bangsa-bangsa lain. Sedih melihat saudara Se Islam dizalimi, di bom, di rogol, tidak dibenarkan solat dan berbagai lagi keadaan yang sulit yang dihadapi oleh saudara kita.

Bagi kita yang tidak sanggup mengangkat senjata membantu saudara-saudara kita yang dizalimi, berdoalah atas keselamatan, kelangsungan hidup, kekuatan iman, kekuatan diri dan tidak lupa mendoakan kemusnahan besar-besaran kepada puak, bangsa dan negara yang menzalimi saudara saudara kita itu. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan  doa yang tulus ikhlas didengar oleh Yang Maha Kuasa. Insyallah.

Tok Engku Hitam


Thursday, October 18, 2012

Bagaimana Menghilangkan Bau Durian Di Dalam Kenderaan

Tok memang suka memakan buah durian ini sejak dari kecil lagi. Boleh kata kalaulah bapa tok bawa balik durian ke rumah  dua atau tiga biji, tok boleh menghabiskan seorang saja. Itu dulu la masa kecil-kecil lagi, masa tak tahu bahasa dan nakal lagi. Bila umur tok makin meningkat dan meningkat, durian tetap menjadi buah kesukaan tok tetapi tak la boleh makan seperti dulu. Makan setakat melihangkan ketagih saja.

Bau buah durian ini memang menyelerakan tetapi bilah baunya berpindah ke dalam kereta kita, boleh menyebabkan kepala menjadi pening. Mana taknya bila berminggu-minggu baunya berada didalam kereta dan sukar mahu hilang. Jadi orang melayu kita ada beberapa petua untuk menghilangkan bau durian yang tersangkut didalam kereta kita. Diantaranya ialah:-

1. Menggunakan Daun Pandan

Caranya ialah menletakkan beberapa helai daun pandan didalam kereta atau tempat yang mempunyai bau durian tersebut. Bila daun yang diletakan menjadi kering, maka diganti dengan daun yang baru sehingga bau durian tersebut hilang.

2. Menggunakan Kayu Arang

Cara penggunaannya sama seperti penggunaan daun pandan hanya tidak perlu la ditukarkan kayu arang yang lain cukup kayu arang yang sedia ada.

3. Menggunakan Roti Keping Gardenia

Mengunakan roti keping gardenia ini adalah cara yang terbaru selepas roti gardenia di keluarkan. Caranya penggunaanya seperti penggunaan daun pandan. Sentiasa di tukar sehingga hilang bau durian.

Bagi tok, yang selalu tok guna untuk menghilangkan bau durian ialah cara yang kedua dan ketiga. Kalau cucu-cucu nak mencuba silakan dan kalau ada yang nak menambah petua yang sedia adapun silakan tambah. sama-sama kita dapat menambah ilmu. Selamat mencoba.

Wednesday, October 17, 2012

Panggillan Yang Mengandungi Doa

Assalammualaikum Cucu-cucu tok yang bertuah semua. Semoga di berkati Allah dan dimurahkan rezeki yang melimpah ruah dari hari-hari. 

Telanjur tok dah tersebut perkataan BERTUAH ini, teringat tok kepada seorang mak cik  di kampung tok dulu. Mulut beliau ini sentiasa menyebut perkataan BERTUAH kepada anak-anak yang di temuinya, tak kira la anak-anak itu baik atau yang nakal. Rupa-rupanya perkataan BERTUAH yang meluncur dari mulut beliau itu adalah satu doa terhadap anak-anak yang baru tumbuh. Ini pun tok sedari bila tok dah meningkat dewasa dulu. Sama la juga bila ibubapa kita berjumpa dengan para ulamak untuk mendoakan untuk kita. Oleh itu kalau boleh jadikan la panggilan yang baik-baik kepada anak kita ataupun kepada kanak-kanak yang kita temui. Insyallah Makbul doa kita dan mana tahu satu hari amalan kita diikuti, maka pahalanya dapat juga melimpah kepada kita. Insyallah.

Tuesday, October 09, 2012

Kota Jakarta Antara Kekayaan dan Kemiskinan

Alhamdulillah, akhirnya tok dapat menjejakkan kaki tok ke bumi Jakarta atau di Zaman Belanda di kenali sebagai Betavia (Betawi) dan di Zaman Jepun dikenali Sunda Kelapa. Baru-baru ini atau lebih tepat lagi ialah pada hujung bulan September yang baru lepas ini, tok berkesempatan melawat kota Jakarta iaitu ibu negara Indonesia. Kegembiraan melawat tempat orang ataupun boleh juga dikatakan tempat aliran darah sesama bangsa mengalir didalam hati tok. 

Tetapi dalam pada itu ada juga timbul perasaan hiba di hati tok ini kerana menurut kata ayah dan nenek tok bahawa arwah datuk tok sebelah ayah telah meninggal dan dikebumikan di kota Jakarta ini tetapi kami tidak tahu di kawasan kuburan mana datuk tok itu dikebumikan. Datuk tok ini menurut ceritanya masa zaman penjajah berlayar mengikut kapal pedagang berkeliling nusantara ini tetapi satu hari disebabkan berlaku ribut berhampiran pelabuhan di kota Jakarta menyebabkan kapal yang dinaikinya pecah dan karam di laut. Menurut cerita orang yang telah bertemu dengannya selepas berbelas tahun kejadian itu berlaku, datuk tok masih hidup lagi ketika itu. Akhirnya dikhabarkan bertahun-tahun kemudian bahawa datuk tok telah meninggal dunia dan telah dikebumikan di sana.

Berbalik kepada kisah tok yang berada di kota Jakarta yang serba moden kini, memang nampak kotanya serba moden dan terlalu banyak bangunan-bangunan yang boleh dibanggakan oleh negara Indonesia. Kadang-kadang kalau kita melihat disudut mana kekayaan dan kemodenan kota Jakarta kita boleh mengatakan Indonesia adalah sebuah negara yang kaya. Tetapi tok sengaja meminta kepada pemandu yang membawa tok itu agar membawa tok keserata kota Jakarta, tak kira di kawasan yang moden ataupun tidak. Pemandu itu nampaknya jujur dan membawa tok seperti yang tok kehendaki, jadi nampaklah keadaan sebenarnya kota Jakarta. Yang kaya memang sekaya-kayanya dengan rumah lebih besar dari Istana Negara, terdapat jeti-jeti bot mewah di rumah-rumah tersebut dan berbagai-bagai kemudahan bagi mereka. Yang miskin pula semiskin-miskinnya, dengan rumah-rumah yang diperbuat kadboard dan kotak-kotak atau bilah-bilah buluh boleh dilihat bertebaran di kawasan si miskin. Yang lebih sedihnya lagi ialah semiskin adalah kaum peribumi yang boleh dikatakan adalah sebangsa dengan kita orang melayu. Ramai anak-anak mereka tidak bersekolah dan ada diantara mereka membantu ibubapa mereka mendapatkan duit di jalan-jalan raya di waktu kesesakan, melepaskan kereta dikesesakan jalan raya dengan menahan kereta yang lain, pulangannya mungkin sepuluh sen atau dua puluh sen satu kereta, mereka sanggup mengadaikan nyawa untuk mendapatkan sesuap nasi. Kehidupan mereka memang sebenar-benarnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sungguh sedih melihatnya, dengan taraf hidup yang tidak seimbang dan terlalu jauh bezanya diantara si miskin dan si kaya. Kalau kita melihat drama Indonesia yang ditayangkan, bagaimana orang kaya boleh menekan simiskin sesuka hati mungkin ada benarnya. Tapi tak tahu lah. Harapan tok agar pihak berkuasa Indonesia melihat dan membela nasib orang miskin yang berada di kota Jakarta tersebut. Ingatlah bahawa yang miskin itulah bangsa kita yang perlu diperjuangkan dan dibela.

Begitu juga dengan masyarakat di Malaysia, bersyukurlah bahawa kita telah mencapai suasana keharmonian dan kesejahteraan yang baik. Walaupun ada juga yang miskin dan yang kaya, tetapi perbezaannya tidak terlalu ketara. Bersyukurlah dan kalau boleh senang sikit bantulah pada orang yang memerlukan bantuan. Tafakur lah sejenak maka kita dapat memahami bagaimana kehendak Yang Maha Kuasa dalam perjalanan hidup kita ini. Renung-renungkan la.

Sunday, October 07, 2012

Kuala Selangor, Pasar Basah dan Harganya

Baru-baru ini tok berkesempatan ke Kuala Selangor untuk membeli ikan dan lain-lain barang basah untuk stok sebulan seperti biasa. Kali ini tok pergi ke pasar di Kuala Selangor bersama dengan isteri tok dan seorang kawan isteri tok. Kawan isteri tok ini hendak melihat pasar di sini dan sambil membeli juga ikan dan barang basah yang lain yang dulu tok kata kepadanya harganya yang murah-murah.

Apabila sampai di pasar tersebut tok agak terkejut sedikit harga udang dan beberapa barang basah yang lain. Terutama udangnya, kerana sebulan yang lepas tok datang ke pasar ini membeli udang yang sama besar dan pada kedai yang sama harganya bari RM18.00 sekilo tetapi kali ini harganya meningkat sehingga RM35.00 sekilo malahan ada yang lebih tinggi RM 42.00 sekilo. Akhirnya tok tak belilah udang tersebut.

Kadang-kadang tok faham jika harga dinaikkan disebabkan kesukaran menangkap udang atau ikan, tetapi kenaikan itu janganlah terlalu tinggi sehingga penjual mendapat keuntungan yang berlipat-lipat kali ganda. Tok bertanya juga kepada penjual tersebut kenapa harga semakin tinggi, jawapannya ialah harga adalah seperti dulu, sedangkan harga dulu adalah jauh lebih rendah. Entahlah mungkin ketamakan penjualan untuk mendapat keuntungan berlebihan apabila mengetahui ramai orang dari Kuala Lumpur berkunjung ke pasar tersebut untuk membeli barang basah. Kadang-kadang ketamakan sebeginilah yang akan merugikan penjual tersebut pada masa-masa akan datang. 

Sebelum ini ramai orang dari Kuala Lumpur mempromosikan untuk membeli barang basah di pasar di Kuala Selangor sebab segar dan murah melalui blog-blog dan pergaulan harian. Tetapi jika harga barang basah semakin meningkat dan meningkat, kemungkinan semakin kuranglah orang Kuala Lumpur akan berkunjung ke sana lagi.

Jadi nasihat tok kepada penjual-penjual di pasar Kuala Selangor, janganlah naikkan harga terlalu tinggi sehingga merugikan perniagaan di masa akan datang. Fikir-fikirkan la.

Saturday, October 06, 2012

Penatnya Bertapa

Assalammualaikum semua cucu-cucu tok yang singgah dan membaca di blog tok ini. Lama sudah tok tak menulis dalam blog ini, rindu pulak nak menulis semula. Ramai juga yang tertanya-tanya ke mana tok pergi selama ini menghilangkan diri, tok tak ke mana-mana. Hanya kini tok sedang menaikkan taraf hidup tok yang serba kekurangan ini, cuba berhijrah ke satu tingkat kehidupan yang lebih baik sedikit dari dulu. Penat juga memikirkan beberapa cara untuk berhijrah dan kini sedang mencuba satu cara untuk meneruskan kelangsungan hidup tok. Ialahlah dengan umur-umur sebegini, yang dah semakin berumur dan dengan kesihatan yang semakin pudar, tok cubalah semampu yang boleh. 

Kalau tok yang dah berumur ini boleh mencuba dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga, apatah lagi yang muda-muda diluar sana. Berusaha dan usaha la lagi, berjaya atau gagal itu bukan kita yang dapat menentukannya, tapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha. Sebab hakikatnya di dunia ini kita hanya menumpang saja, yang pasti kekal nanti hanya di akhirat. Dengar yer nasihat tok ini cucu-cucu yer. Semoga berusaha dan berjaya.