Semalam tok sempat berkunjung ke rumah sahabat tok iaitu admin blog kerispermata. Admin blog kerispermata ini biasanya tok panggil dengan panggil kakak saja kerana itulah kebiasaannya. Alhamdulillah nampak dari air mukanya menunjukkan kesihatannya adalah dalam keadaan baik.
![]() |
| Keris yang pernah dibeli dari blog KerisPermata |
Sahabat tok ini banyak menyimpan keris-keris lama dan banyak senjata melayu yang lama-lama termasuklah tombak, semar, sundang, golok dan lain-lain lagi. Boleh dikatakan banyak juga senjata yang dalam pegangan beliau sekarang ini, tok meminatinya. Pernah juga tok membeli keris dari pegangan beliau. Walaupun yang tok beli itu adalah isinya kosong tetapi ada terasa sesuatu aura yang terdapat pada keris tersebut, mungkin pada besinya terdapat campuran besi lama yang mempunyai keunikan tersendiri. Maka tarikan itu pasti ada. Bagi sesiapa yang ingin memiliki keris lama ataupun ingin mendapatkan keris pertama untuk menjadi pegangan bolehlah melihat diblog beliau http://KerisPermata.blogspot.com dan berhubunglah dengan beliau untuk melihat kerana melalui pengalaman tok melihat keris dari gambar adalah berbeza jika kita merasai memegang keris itu sendiri. Bila senjata dipegang dan dibelek melalui tangan kita maka instinct dalam diri kita akan berjalan. Percayalah.
Inilah yang tok beritahu dengan seorang sahabat tok semalam yang tok bawa berjumpa dengan admin blog KerisPermata ini. Asalnya beliau hanya ingin melihat saja gambar Sunduk Maru (sejenis senjata seperti pedang) yang ada dalam pegangan kakak ini. Memang cantik gambarnya tetapi lebih cantik jika dapat dipegang dan dilihat keadaan sebenarnya didalam pegangan tangan kita sendiri. Selepas dilihat banyak pula senjata yang diminati oleh sahabat tok ini dalam pegangan kakak admin ini. Mungkin bila sudah ada duit nanti dia akan mengambilnya dari pemilik Admin KerisPermata. Insyallah.
Dalam perbualan tok dengan kakak Hanizah (Admin KerisPermata) ini ada satu perkara yang tok tak berkenan dengan beberapa pembeli keris beliau. Ini nasihat tok kepada semua pembeli keris, jika kita sudah berpuashati semasa melihat keris atau senjata lain dan pertukaran mahar telah dibuat, maka keris itu sudah menjadi milik kita. Janganlah datang semula dengan memulangkan bilahnya saja dan mengambil bilah yang lain dan disatukan dengan hulu dan sarung yang mula-mula dibeli itu. Tahu tak peminat keris bahawa setiap keris yang dibuat lengkap ianya adalah pakaian yang telah sesuai dibuat oleh pembuatnya. Contohnya sebegini sepasang pakaian yang lengkap secara asas ialah baju busana, seluar, sampin, tengkolok dan capal. Ianya tidak menjadi lengkap jika kita menukarkannya dengan baju busana, kain pelekat, sampin, songkok dan selipar jepun. Begitulah ibaratnya kalau kita menukar-nukarkan pakaian keris tersebut, alangkah peliknya. Lagi satu kita telah mengakadkan pemaharan keris yang kita ambil sahaja, maka kita telah menukarkan kepada yang lain akan akan hilang berkatnya. Sebab itu jika kita ini membeli sesuatu keris hendaklah ia sudah berpuashati semasa kita menghulurkan maharnya kepada penjualnya. Bawa orang yang pandai melihatnya bersama masa kita ingin membeli sesuatu keris tersebut. Bila semuanya dah berpuashati barulah membelinya. Jika terdapat sedikit kekurangan atau kelebihan yang ada pada keris yang telah kita beli, maka perlu menerimanya dengan terbuka hati kerana itulah bahagian yang kita terima.
Guru tok dulu pernah berkata, JIKA KAMU INGIN MEMBELI SESUATU YANG BAIK, MAKA KAMU MEMBELI TANPA MENAWAR HARGA, KERANA MENAWAR HARGA ITU AKAN MENGURANGKAN KEBERKAHANNYA. JIKA KAMU INGIN MENAWARKAN HARGA JUGA, MAKA TANYALAH HARGA PADA PENJUALNYA SEBANYAK TIGA KALI. HARGA YANG TERAKHIR ITULAH HARGA KAMU. MAKA REDHALAH APA YANG TELAH ENGKAU PERSETUJUI TANPA MEMPERTIKAIKANNYA. Renung-renungkanlah ya apa yang guru tok katakan ini.

0 comments:
Post a Comment