Wednesday, February 23, 2011

Musim Bersawah Padi Satu Kenangan

Gambar dari outdoors.webshots.com


Umur tok kecil lagi masa membantu mak dan ayah tok bersawah padi. Masa umur tok 8 tahun, tok dah mula mengangkat benda berat seperti benih padi, padi di dalam guni dan petak papan yang digunakan untuk membanting padi (masa menuai padi).

Seperti turutannya benih padi akan direndam didalam air selama beberapa hari, biasanya didalam benting (tali air). Kemudian benih akan dinaikkan ke atas daratan dan ditutup dengan guni padi sehingga keluar akar-akar putih menandakan ia dah bercambah. Benih padi yang telah bercambah akan disemai ke petak semaian. Apabila benih padi yang telah disemai naik separas lebih kurang lutut, ianya akan di cabut dan di ubah ke petak sawah. Tunggu lah beberapa bulan sehingga pokok padi berbuah dan masak. Pada masa ni seronok sebab masa untuk menangkap burung ayam-ayam (sejenis burung seperti burung wak dan puyuh). Caranya meletakkan jaring di sebelah atau dua belah bahagian yang segi empat sama. Kemudian 3 orang akan membunyikan loceng yang diperbuat dengan batu yang dimasukkan ke dalam tin seperti mengepung dan menghalau burung tersebut ke arah jaring. Seorang lagi akan menunggu kat jaring. Bila burung terlekat di jaring tangkap lah burung tersebut. Rasa burung ni sedap lebih sedap dari ayam dan burung puyuh. Sekarang mungkin burung ni dah pupus, sebab masa tok umur belasan tahun, burung ni dah diwartakan sebagai binatang kawalan.

Berbalik kepada padi masak tadi, proses menuai atau menyabit akan berlaku masa ni. Orang kampong dulu kalau nak buat duit, masa mengubah dan menyabit la masa untuk tambah pendapatan dengan mengmbil upah dengan pekerjaan sementara ini. Bila padi dah di sabit, tok akan membanting pula, proses menanggalkan padi dari batangnya. Lepas tu jemur padi tu diatas kampit gula atau tepung yang dijahit-jahit dan dihamparkan seperti tikar sehingga kering. Kemudian padi itu akan di anginkan untuk mengasingkan padi dengan habuk atau serpihan daun atau batang padi. Selepas itu baru la padi ini akan di masukkan ke dalam guni dan dipikul ke rumah dan dimasukkan ke dalam kepuk padi(tempat menyimpan padi sebelum dijadikan beras.

Selepas padi dituai ini, masa berpesta ria la, sebabnya musim menimba di sawah padi lak.. Biasanya di petak-petak sawah padi ini, akan terdapat satu kawasan yang dalam sikit. Jadi ditempat ini menjadi tempat ikan-ikan seperti haruan, keli, sepat dan ikan betuk (puyu) berkumpul. Kadang-kadang tu ada juga belut dan ular. Bila jumpa ular ni bertempiaran la lari hehehe. Masa menimba ni boleh kata sekali menimba ni boleh dapat tiga besen besar penuh ikan darat ni. Ada sekali tu tok meraba-raba didalam air di tepi batas sawah padi untuk mencari ikan. Raba punya raba, terjumpa la lubang ni, tok masukkan tangan dalam lubang kemudian terasa licin je. Ingatkan ikan keli ke, bila tarik je keluar rupanya ular air. Apa lagi campak je ular tu, kemudian terus lari hehehehe. Pengalaman yang tok tak dapat dilupakan.

No comments:

Post a Comment